Anda biasa mendengar tentang pendermaan organ selepas meninggal dunia. Bermacam-macam perkara yang difikirkan bagaimanakah prosedur untuk menderma organ. Perkara ini melibatkan Daftar Penderma Organ Nasional untuk memberi kebenaran organ dan tisu anda diberikan kepada orang lain selepas anda meninggal dunia. Nota separa perubatan mengenai program derma organ akan membantu anda memahami program derma organ ini.
Baik tua atau muda, tidak ada had usia yang menghalang anda daripada menjadi penderma organ dan tisu. Walau bagaimana pun, mereka yang berusia kurang dari 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran dari ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu. Selepas penderma yang berdaftar meninggal dunia, barulah proses pemindahan organ dijalankan.
Aktiviti pembedahan untuk menukarkan tisu atau pun organ yang sudah tidak boleh berfungsi dengan tisu atau pun tisu yang masih boleh berfungsi dengan baik dinamakan transplantasi. Terdapat senarai khas organ-organ yang boleh anda dermakan iaitu :
- Buah pinggang
- Jantung
- Hati
- Paru-paru
- Pankreas
Selain organ, anda juga boleh mendermakan tisu. Berikut ialah senarai tisu yang boleh anda dermakan iaitu :
- Mata
- Tulang
- Kulit
- Injap jantung
Bilakah organ dan tisu boleh didermakan?
Apabila kematian seseorang penderma sudah disahkan oleh 2 orang doktor, organ dan tisu dari badan beliau barulah ianya boleh diproses untuk pemindahan. Ini bermakna proses pemindahan organ dan tisu dilakukan mengikut prosedur. Selepas penderma meninggal dunia, sesi perbincangan dengan waris akan dilakukan sebelum proses pemindahan dijalankan.
Aktiviti menderma organ dan tisu ini mendapat pengiktirafan dari agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan Sikh. Aktiviti mendermakan organ dan tisu selepas meninggal dunia dianggap sebagai satu pengorbanan yang mulia.
Salah satu prosedur dalam pemindahan organ dan tisu ini ialah menjalankan pembedahan yang benar-benar bersih dan suci daripada hama. Pemindahan yang dijalankan akan dikendalikan oleh doktor yang pakar dalam pembedahan di dewan bedah. Salah satu jaminan yang diberikan kepada penderma organ dan tisu ini ialah ia tidak akan memberi kesan kepada rupa dan badan mereka.
Selepas pembedahan organ dan tisu selesai dijalankan, luka dari pembedahan tersebut dijahit dengan sebaik mungkin sehingga mayat penderma seolah-olah tidak mengalami sebarang kecacatan. Proses semasa pemindahan organ dan tisu ini dijalankan secara hormat dengan mengikut tertib seperti proses pembedahan yang normal.
Sekiranya anda berubah fikiran untuk menarik diri dari menderma organ dan tisu, anda boleh memberitahu pihak Pusat Sumber Transplan Nasional pada bila-bila masa sahaja. Tidak ada yang akan memaksa atau mendesak anda mengubah keputusan. Apa yang perlu anda lakukan ialah memulangkan semula kad penderma organ kepada Pusat Sumber Transplan Nasional dan memberitahu keluarga anda tentang keputusan tersebut.
Bagi setiap penderma yang telah mendermakan organ dan tisu mereka, jenazah mereka dibersihkan, dikafankan dan dikembalikan kepada keluarga atau waris dengan kadar yang segera. Upacara pengkebumian seperti tidak akan terjejas kerana menderma organ dan tisu.
Proses permohonan penderma organ dan tisu
Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk menjadi salah seorang daripada penderma organ dan tisu, anda perlu mendaftar dengan mengisikan borang akuan penderma dan kad penderma. Hantar borang yang telah lengkap diisi perlu diserahkan kepada Pusat Sumber Transplan Nasional. Anda perlu membawa kad penderma ke mana sahaja anda pergi. Simpan kad tersebut dalam dompet anda dengan cermat.
Rancangan anda untuk menjadi penderma organ dan tisu perlu dimaklumkan kepada keluarga supaya mereka dapat mengetahui rancangan anda sekaligus melancarkan proses mendapatkan kebenaran untuk memperolehi kebenaran pemindahan organ tersebut. Setelah otak penderma disahkan mati, barulah proses pemindahan organ akan dijalankan. Anggota perubatan yang terlibat perlu mendapatkan keizinan dahulu daripada keluarga terdekat kepada penderma.
Mati otak merupakan satu keadaan di mana peredaran darah sudah tidak mengalir lagi ke otak. Ini menyebabkan keseluruhan bahagian otak sudah tidak berfungsi. Fungsi otak sama sekali tidak boleh dikembalikan lagi.

No comments:
Post a Comment